“Maya, kalau Shah cakap something Maya jangan marah tau..”
“Cakaplah. Shah belum cakap mana Maya tau..”
“Shah suka sangat kat Maya tau.”
Tersenyum sendiri kala mengenangkan zaman kanak-kanak aku dengan Shah. Waktu itu, aku dan Shah memang rapat. Kami tertawa dan menangis bersama. Ke mana-mana kami pasti berdua. Shah juga banyak membantuku sekiranya terdapat budak-budak nakal yang menggangguku. Kami terus berkawan baik walaupun selepas memasuki alam persekolahan.
Sewaktu naik ke tingkatan 1, Shah ditempatkan di kelas 1 memandangkan dia sememangnya mempunyai otak yang cerdik. Sedangkan aku ditempatkan di kelas 2. Kelas yang berlainan tidak memisahkan aku dan Shah. Dia masih terus membantuku dalam pelajaran. Kami masih akrab seperti dahulu. Pendek kata, di mana ada Shah, di situlah aku. Acapkali juga Shah mengatakan yang dia menyukaiku, namun aku hanya tertawa. Masakan tidak, sejak kecil dia memang selalu menyatakan yang dia menyayangiku. Jadi aku tidak pernah mengambil berat dengan semua ucapan sayangnya.
Naik tingkatan 3, kami tidak lagi sentiasa bersama seperti selalu. Bukannya kami berselisih faham, cuma masing-masing sibuk dengan aktiviti sendiri. Shah begitu aktif dalam pasukan bola sepak sekolah sedangkan aku pula sibuk dengan Kelab Penulis Mudaku. Walaupun kini kami jarang meluangkan masa bersama, kami masih seperti dahulu. Kawan baik tidak semestinya harus selalu bersama, begitu kata Shah.
Suatu hari, sekolahku menganjurkan perlawanan bola sepak antara sekolah. Sudah tentu Shah akan terlibat dengan perlawanan itu. Maklumlah, dia adalah antara barisan pemain harapan sekolah.
“Maya jangan lupa datang perlawanan petang esok tau,”pesannya.
“Mestilah, kan Shah yang main.”jawabku sambil tersenyum.
“Janji tau.”desaknya lagi.
Beria-ia dia memintaku menghadirkan diri ke perlawanan esok. Sebagai sumber inspirasi katanya. Aku hanya mengiakan sambil tersenyum. Kulihat Shah berpuashati dengan reaksiku dan memohon pulang kerana dia harus menjalani latihan di padang sekolah. Aku memandangnya sehingga dia hilang dari pandanganku.
Hari pertandingan pun tiba. Sedang aku mencari tempat duduk, kulihat Shah melambaikan tangannya ke arahku. Aku membalas lambaiannya dan mengambil tempat duduk. Tidak sampai lima minit perlawanan dimulakan, aku didatangi oleh naib pengerusi Kelab Penulis Muda memberitahu yang mesyuarat tergempar akan dijalankan pada waktu itu. Memandangkan aku adalah setiausaha kelab, adalah tidak wajar sekiranya aku tidak menghadirkan diri. Dengan berat hati, aku bangun meninggalkan padang.
Sepanjang mesyuarat berjalan, hatiku tidak tenteram sama sekali. Mujurlah mesyuarat tamat sepuluh minit sebelum perlawanan berakhir. Aku terus berlari ke padang sekolah. Setibanya di padang, aku segera mencelah untuk berada dekat dengan padang. Melintasi beberapa orang pelajar, aku terdengar mereka berbicara.
“Kenapa dengan Shah tu? Bola macam tu pun dia tak boleh ambil.”
“Entah, dia kan pemain terbaik. Tapi macam ada yang tak kena je.”
“Kalau macam ni, habislah kita.”
Walaupun kurang jelas, aku masih dapat menangkap butir-butir perbualan mereka.
‘Apa kena pula dengan Shah ni?’desis hatiku.
Aku terus mencari kedudukan yang betul-betul berhadapan dengan padang dan berhampiran dengan Shah. Aku melambai-lambaikan tangan dengan harapan Shah akan melihatku. Mujurlah Shah menyedari kehadiranku. Selepas membalas lambaianku, Shah kelihatan bersemangat dan meneruskan permainan.
Melihat Shah kembali beraksi dengan sepenuh tenaga, pelajar-pelajar sekolah kami kembali bersorak dengan kuat sekali.
“Ish, kalau Shah main macam ni tadi mesti kita dah menang sekarang.”
“Betullah. Eh, tengok tu.”
Aku tersenyum dengan kata-kata itu. Aku juga turut bersorak sama memberi sokongan kepada pasukan bola sepak sekolah kami, Shah khasnya.
Namun nasib tidak menyebelahi pasukan sekolah kami apabila wisel penamat dibunyikan semasa Shah sedang membuat cubaan untuk menyamakan kedudukan. Akhirnya Shah hanya berjaya menamatkan permainan dengan dua jaringan. Sebaik semua pemain bersurai, Shah menerpa ke arahku.
“Maya, mana Maya pergi tadi? Shah tak nampak Maya pun,”tanyanya.
“Sorry, ada urgent meeting tadi. Tak tau macam mana nak bagitau Shah.”jawabku.
Shah melepaskan satu keluhan kecil.
“Macam mana Shah main tadi? Kalau Shah main betul-betul mesti kita dah menang tau,”ujarku.
“Kan Shah dah kata, Maya ni sumber inspirasi Shah. Macam mana Shah nak main bila sedar-sedar Maya takde. Tiba-tiba je,”jelasnya.
Aku terdiam mendengarkan penjelasannya itu. Benarkah aku begitu penting dalam hidupnya. Shah, janganlah mengocak perasaan yang mula bertamu di hatiku ini.
p/s: this is my first n3..hope boleh komen lau ada apa2 opinion..TQ