“AIREEN ada?”
Suasana pagi yang riuh di pejabat itu, menjadi sunyi nyenyat. Kehadiran Nik Adrean betul-betul melumpuhkan aktiviti berborak yang dianggotai oleh hampir semua staf Bahagian Khidmat Pelanggan.
Suasana pagi yang riuh di pejabat itu, menjadi sunyi nyenyat. Kehadiran Nik Adrean betul-betul melumpuhkan aktiviti berborak yang dianggotai oleh hampir semua staf Bahagian Khidmat Pelanggan.
“Tak ada sesiapa nak jawab soalan saya ke?”
“Erm, Cik Aireen belum masuk lagi. Encik Nik nak tinggalkan pesanan ke?”takut-takut Wanie menjawab.
“Takpelah kalau macam tu. Nanti saya datang balik,” Nik Adrean berlalu sambil membetulkan tali leher hijau epal yang dipakainya.
Suasana aman tenteram sebentar tadi nampaknya tidak dapat bertahan lama dan mula dicemari dengan suara-suara sumbang yang mulai meneka-neka tujuan Nik Adrean mencari Aireen di awal pagi. Aktiviti bergosip kini memonopoli acara.
“Selamat pagi semua.”Aireen melangkah masuk dengan wajah yang agak bercampur-baur antara ceria dan sugul.
Langkahnya terhenti di hadapan pintu, dan berpusing menghadap rakan sepejabat yang kini memusatkan pandangan kepadanya. Macam-macam maksud dan taksiran yang diperolehi daripada pandangan mereka semua.
“Hello, I pakai baju terbalik ke? Ataupun I lupa nak zipkan skirt I?”
Pertanyaan sinis itu berjaya mengalihkan pandangan mereka semua, namun kedengaran efek suara-suara sumbang yang masih berterusan.
“Wanie, ada apa-apa yang tak kena dengan I ke?”
Wanie yang sedang tunduk, buat-buat bertambah sibuk dengan kerjanya. Namun apabila Aireen tidak berganjak seinci pun dari sisi mejanya, dia mengangkatkan muka.
“Erm..Tadi Encik Nik datang cari Cik, tapi Cik belum sampai lagi. Dia tak ada tinggalkan apa-apa pesan. Dia kata dia akan datang balik nanti,”
Aireen terangguk-angguk mendengar penjelasan Wanie. Dalam hatinya mencari kalau-kalau ada kesalahan yang dia lakukan. Seingatnya, selepas peristiwa dimarahi bulan lepas tiada pula apa-apa kesalahan tambahan yang dilakukannya.
‘Hadoi...apalah pula kesalahan aku kali ni?’hatinya mengomel, sementara tangannya menolak pintu pejabat.
Dia tergamam apabila pintu pejabatnya terbuka.
Aireen tersenyum buat kali yang entah keberapa. Jambangan mawar putih yang digubah cantik dalam plastik lembut berwarna putih, dicium lagi.
‘Erm, habis juga bau bunga ni aku cium-cium.” Dia tertawa dengan pemikiran luar logik yang timbul di benaknya.
Sedang dia mengusap lembut jambangan itu, jarinya tersentuh sesuatu. Kad yang diselit di celah-celah kuntuman mawar putih itu ditarik. Tidak sedar kad itu ada di situ sedari tadi.
‘Ryana,
Sorry tak dapat lunch together today. But promise, i’ll buy you dinner.
Love you, sayang.
Ariel’
Jambangan yang didakap dari tadi, terus dicampakkan ke atas meja. Aireen melepaskan keluhan berat. Bengkak hatinya diperlakukan begitu. Sejak akhir-akhir ini, semakin kerap Ariel memungkiri janjinya.
Aireen termenung lagi. Memikirkan rasionalnya tindakan dia membiarkan Ariel melakukan sesuka hati. Matanya memandang lama pada jambangan bunga yang dilemparkan tadi. Tiba-tiba matanya tertancap pada dokumen di bawah jambangan tersebut.
‘Quotation as at 20th May, 2009’
“Oh, my God!” Aireen bingkas mencapai dokumen tersebut dan berlari ke Bahagian Pemasaran.
‘Nak masuk ke tak nak? Nak masuk, tak nak. Nak masuk, tak nak.’
Aireen mundar-mandir di hadapan bilik Nik Adrean. Dalam hatinya berkira-kira hendak masuk ataupun tidak. Masih lagi terbayang peristiwa dimarahi oleh Pengurus Pemasaran itu.
“Sejak bila saya upah awak jadi security guard kat depan pintu saya?”
Pintu bilik Nik Adrean tiba-tiba terkuak, dan terjengul wajah Nik Adrean di situ. Aireen yang terkejut, hampir-hampir melatah namun sempat menutup mulutnya dengan tangan. Segera dia masuk ke dalam bilik Nik Adrean tanpa berkata apa-apa.
‘Eh, dia ni. Tadi bukan main lagi ke hulu, ke hilir. Aku buka pintu, melulu je dia masuk.’ Tergelak Nik Adrean melihat telatah Aireen itu.
Nik Adrean duduk di kerusinya, berhadapan dengan Aireen yang masih menutup mulut dengan tangan. Gadis itu tunduk, menguis permaidani dengan hujung kasut hitam yang dipakainya.
“Awak nak tutup mulut sampai esok ke?”
Sengaja Nik Adrean berkata begitu apabila dilihatnya Aireen masih tidak menukar posisi. Aireen segera menurunkan tangan dan menggeleng. Kelihatan Nik Adrean tertawa kecil dengan kelakuannya kali ini. Menyedari kesengalannya terserlah, Aireen menepuk dahi. Tabiat yang sukar dibuang oleh gadis muda ini.
“Minta maaf, Encik Nik. Saya sendiri tak tahu kenapa saya ada kat sini.”Jelas sekali Aireen masih belum pulih daripada penyakit mental sementaranya apabila bertanya begitu.
“Saya rasa mesti ada kena-mengena dengan dokumen kat tangan awak tu,”jawab Nik Adrean, mengunjuk kepada dokumen di tangan Aireen.
Aireen memandang tangannya. Sekali lagi dia menepuk dahi. Macam manalah dia boleh terlupa perihal dokumen ini. Segera dia hulurkan dokumen tersebut kepada Nik Adrean.
Nik Adrean membaca dokumen tersebut sambil terangguk-angguk. Sempat dia mengerling Aireen yang serba tidak kena di hadapannya.
“Alright. So, tengah hari ni kita ada business lunch. Dalam pukul 12.30 awak datang sini semula ok?”ujar Nik Adrean, tersenyum nipis.
Aireen menganggukkan kepala.
‘Nasib baikla dia ni tak marah aku. Eh, nanti dulu. Takkan kita tu merujuk pada..aku ngan dia?’
“Encik Nik,”panggilan Aireen membuatkan Nik Adrean kembali menumpukan pandangan kepada gadis ini. Mata mereka bertemu, menimbulkan satu keresahan di hati Aireen.
‘Hmm..cantik juga dia ni. Anak mata dia warna coklat bening. Bulu mata lentik, pipi merah, bibir dia..’
“Encik Nik,”panggil Aireen sekali lagi apabila dirasakan mata Nik Adrean berenang terlalu jauh dalam matanya, menyemukan merah di kedua pipinya.
“Bibir awak cantik,”terluncur ayat itu dari mulut Adrean, membuatkan Aireen terasa hampir mahu pitam.
No comments:
Post a Comment