"Betul Shah nak pergi ni?"
Wajah mamanya dipandang lama. Shah masih diam, mungkin memikirkan kemungkinan-kemungkinan yang bakal berlaku jika dia ingin meneruskan niatnya.
"Shah tak nak jumpa dia?"
Sebuah keluhan dilepaskan. Memang dia terlalu ingin bertemu gadis itu, namun peristiwa beberapa hari lepas membuatkan hatinya bengkak. Dia tidak mahu lagi terus menunggu, dan dikecewakan. Sebab itulah dia mengambil keputusan untuk ke Australia bersama papanya. Kebetulan papanya perlu menerima rawatan di sana.
"Nanti sijil SPM Shah macam mana?"
Shah memegang lembut tangan mamanya. Dia tahu, mamanya berat hati untuk melepaskan dia pergi. Apatah lagi dalam usia yang begitu muda, baru menginjak ke lapan belas tahun.
"Mama tolong ambilkan untuk Shah."
Mamanya membuang pandang. Habis sudah usahanya untuk memujuk agar Shah tidak meneruskan niat untuk ke Australia.
"Dan ma, tolong jangan beritahu sesiapa ke mana Shah pergi."
Keputusannya muktamad. Shah tahu, dia tidak akan dapat berpatah balik setelah keputusan itu dibuat. Sebenarnya, dia terlalu rindu pada Maya. Namun perasaan egonya menghalang dia daripada terus tenggelam dalam kasih yang pada sangkanya, hanya bertepuk sebelah tangan.
SUASANA di lapangan terbang antarabangsa Kuala Lumpur begitu sesak. Cuti sekolah yang telah bermula tambah menyesakkan lagi keadaan di situ. Shah awal-awal lagi melarang mamanya menghantar dia pergi. Dia tahu, mamanya tidak akan berputus asa memujuk dia untuk membatalkan hasratnya. Dia asyik bermenung apabila lengannya ditarik seseorang.
"Tasya, apa awak buat kat sini?"
Tasya diam, merenung tajam ke arahnya. Sungguh dia tak sangka, Shah akan membuat keputusan untuk meninggalkan negara ini. Dan yang paling penting, Shah akan meninggalkan dirinya!
"Kenapa awak nak lari jauh-jauh, menyusahkan diri sendiri semata-mata kerana perempuan yang tak tahu mengenang budi tu Shah?"
Shah mengeluh. Tasya terlalu banyak menghukum Maya, sedangkan Tasya bukanlah begitu mengenali gadis itu.
"Saya buat semua ini untuk kebaikan saya. Bukan sebab sesiapa pun, Tasya."
"Tapi saya tahu, dia ada kena-mengena dengan semua ni kan?"
Shah mengangguk. Dia tahu, Tasya bencikan Maya. Namun dia juga terpaksa mengakui, dia pernah merasa dekat dengan gadis itu.
"Apa salah saya, Shah? Kenapa dia yang lebih dulu hadir dalam hidup awak, dan dia juga yang jadi penyebab memisahkan saya dengan awak?"
"Awak tak salah Tasya, Maya juga tak salah. Mungkin ini yang terbaik untuk kita semua."
Tasya diam, walau dalam hati dia membantah keras kata-kata Shah itu. Bagi Tasya, semuanya adalah salah Maya!
"Terima kasih, Tasya. Kalau bukan sebab awak, mungkin saya masih ingat yang Maya adalah Maya yang saya kenal selama ni. Saya tak tahu yang Kuala Lumpur mampu mengubah siapa dia."
"Takkan awak tak kenal Maya, Shah?"
"Saya kenal dia, Tasya. Atau mungkin, saya sangka saya kenal dia. Tapi apa yang saya nampak malam tu, benar-benar membuka mata saya. Rupanya saya dah salah. Dia bukan lagi Maya yang dulu."
Tasya senyum kecil, namun segera disembunyikan senyuman itu. Dia mengusap lembut bahu Shah, cuba menenangkan pemuda itu.
"People changed, Shah. Sebenarnya, saya takut juga nak beritahu awak masa tu. Yelah, takut awak ingat saya sengaja memburuk-burukkan dia."
"Takkan awak nak buat saya macam tu. Kan?"
Tasya melarikan pandangan apabila mata mereka bertemu. Panggilan untuk berlepas membantutkan perbualan mereka. Shah mengucapkan selamat tinggal, sebelum melangkah masuk ke balai pelepasan. Tasya melambaikan tangan, sebelum kembali tersenyum. Sendiri. Telefon bimbit dikeluarkan dan satu nombor didail.
"Hello, papa. I wanna go to Australia."
---------------------------------------------------------------------------------------
Titis hujan mengejutkan Shah dari lamunan. Dia segera masuk dan menutup pintu balkoninya. Dia mengusap mukanya, lama. Terlalu jauh rupanya dia dibawa menyingkap satu-persatu kenangan yang ingin dilupakan. Tidak mahu lagi dia kenangkan semua itu, namun entah mengapa. Kenangan itu begitu mudah terlayar di ruang ingatannya.
"Maya, kalaulah Shah tolak sedikit ego Shah masa tu....."
2 comments:
grrr... geramnyeer.. kat nshaha. n ie..... itulah sesal dahylu pendapatan.. seasal sekarang tak berguna lgilah... kasihan ngko shah... takpe... kenapa takde maya kat n3 nie... i rindu kat maya and adam.....
korro..
sowila ye..ini entry spontan sbb risau da lama sangat tak ber'update'..sedikit masa lagi utk setelkan sume keja b4 updating the story...
p/s: rindu kat maya n adam jugak ^_^
Post a Comment